Memperkukuh kerjasama perniagaan tempatan melalui MOA





Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman





 

BERAKAS, Khamis, 6 November. - Majlis Penandatanganan Perjanjian di antara Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. bagi Projek Membangun, Mengendali dan Memelihara Prasarana di Taman Rekreasi Hutan Berakas diadakan petang tadi di Taman Rekreasi Hutan Berakas, di sini.


Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyaksikan penandatanganan kontrak perjanjian tersebut ialah Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.


Turut hadir, Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi dan Duta-duta; Setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dari KSSUP; Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd.; serta rakan-rakan kerjasama yang terlibat dalam projek ini.


Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan telah menyampaikan ucapan alu-aluan diikuti dengan majlis menandatangani perjanjian.


Menandatangani perjanjian bagi pihak Jabatan Perhutanan ialah Pemangku Pengarah Perhutanan, Awang Reni bin Haji Yahya, sementara Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. diwakili oleh pengurus syarikat berkenaan, Dato Ting Jack Chai.


Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. telah ditubuhkan bagi mengurus dan mengendalikan projek ini dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, yang bertujuan untuk menaik taraf kemudahan sedia ada serta memperkenalkan pembangunan baharu bagi memperluas peluang pengalaman pelancongan berasaskan pelancongan alam semula jadi dan eko pelancongan.


Selain itu, projek ini juga akan memperkukuh kerjasama dengan perniagaan tempatan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memperkayakan aktiviti di taman tersebut.


Projek ini adalah salah satu inisiatif pihak KSSUP melalui Jabatan Perhutanan dan Jabatan Kemajuan Pelancongan dalam usaha memperkukuhkan serta mempelbagaikan produk pelancongan di Daerah Brunei dan Muara.


Melalui pelaksanaan projek ini, Taman Rekreasi Hutan Berakas disasarkan untuk diketengahkan sebagai salah satu destinasi ekopelancongan yang mempunyai lokasi strategik dan mudah untuk dikunjungi.


Di samping itu, projek ini juga menyokong aktiviti pelancongan mampan yang selaras dengan komitmen berterusan negara terhadap amalan pembangunan lestari bagi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.


Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd. akan melaksanakan Projek Membangun, Mengendali dan Memelihara Prasarana dengan keluasan 8 hektar di Taman Rekreasi Hutan Berakas, Daerah Brunei dan Muara.


Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan projek ini, Borneo Eco-Resort Sdn. Bhd.  juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan-rakan strategiknya bagi menyokong pengurusan, pembangunan dan promosi Taman Rekreasi Hutan Berakas.


Usaha ini dijangka memperkukuh kerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan projek ini dan kelestariannya.


Projek ini diharap akan dapat meningkatkan lagi pengunjung dari dalam dan luar negara ke Taman Rekreasi Hutan Berakas untuk mendukung perkembangan sektor pelancongan di Daerah Brunei dan Muara khasnya dan di Negara Brunei Darussalam amnya.


Selain daripada itu, projek ini akan dapat membukakan peluang pekerjaan baharu bagi anak-anak tempatan dan meningkatkan kesedaran mengenai kewujudan serta kepentingan hutan di negara ini, di samping memperkukuhkan usaha pemuliharaan khazanah alam semula jadi dan biodiversiti hutan untuk generasi masa kini dan akan datang.

 

Close